Saturday, December 11, 2010

Masuk MELAYU atau ISLAM?

Assalamualaikum...
Setelah sekian lama menyepi kerana tidak menerbitkan artikel untuk blog ini seberapa ketika, hari ini saya ingin berkongsi dengan pelayar blog semua berkenaan maslahat agama-agama yang berlaku pada masa kini sehinggakan terbit kekeliruan yang dianggap kecil sihingga menimbulkan kesan yang agak besar. Tajuk di atas dipaparkan berdasarkan kepada realiti masa kini dan tanggapan umum bangsa lain yang beragama selain daripada Islam terhadapa ISLAM dan MELAYU itu sendiri.

Adalah ingin ditegaskan di sini bahawa ISLAM dan MELAYU merupakan dua perkataan yang berbeza dan membawa makna yang berbeza juga. Islam merupakan agama suci yang disampaikan melalui lidah pesuruh Allah iaitu junjungan mulia Muhammad s.a.w. berdasarkan kepada kitab yang diturunkan iaitu al-Quran al-Karim. Manakala MELAYU pula merugakan suatu BANGSA dan bukannya satu AGAMA seperti mana dakwaan penganut agama lain sejak dahulu hingga sekarang. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa kaum MAJORITI di Malaysia yang menganut agama ISLAM adalah masyarakat MELAYU, maka tidak hairanlah ISLAM dikaitkan terus dengan MELAYU.

Akan tetapi, jika kita pergi ke tanah Arab yang masyarakat majoriti penganut Islam mereka juga di katakan mereka Melayu? Alangkah ternampak BODOHnya jika mereka beranggapan sedemikian. Bagi bukan Islam yang ingin menganut Islam, jangan bimbang...anda bukan melalu proses KEMELAYUAN, akan tetapi melalui proses yang akan menenangkan jiwa dan seluruh rohaniah anda iaitu proses PENGISLAMAN. Anda tetap dengan bangsa anda, akan tetapi agama anda tetap bersama Islam.

Penulis sempat melihat serta meneliti dan mengambil bahan-bahan perbandingan di antara Kristian dan Islam melalui perbandingan kitab kedua-dua agama tersebut iaitu al-Quran dan Injil (Perjanjian Lama & Baru). Apa-apa pun, sebelum memulakan perbandingan tersebut, ingin sekali penulis ingin berkongsi bahawa, jangan menilai Islam daripada luaran sahaja, tetapi bandingkan Islam dari sudut dalaman. Ada yang menghina Islam itu miskin, penjenayah, kolot dan bermacam-macam lagi dakwaan dan tuduhan yang entah tahap apa keBODOHannya. Menuduh tanpa menilai adalah satu sikap prejudis yang seakan-akan membaling batu sembunyi tangan. Sikap yang takut untuk berhadapan dengan keBODOHan dalam diri mereka yang menjadikan mereka terus dihantui sikap BODOH serta SOMBONG dengan diri masing-masing yang menjadikan wujudnya perkataan BODODH SOMBONG. Jika diambil kira kemiskinan di Malaysia dan Indonesia dimonopoli oleh orang Islam, maka tidak bermakna Islam itu tidak baik, kerana di Filipina kebanyakan yang miskinnya adalah orang Kristian. Contoh lain, jika di Malaysia dan Indonesia ramai penghuni lokap adalah Islam, tidak bermakna Islam itu jelek, kerana di Mexico ramai penghuni lokapnya terdiri daripada Kristian!!

Jadi dalam penulisan ini, penulis ingin berkongsi BUKTI apa yang boleh diguna pakai untuk membuktikan sebuah agama itu benar? Maka itu haruslah berpandukan kepada KATA TUHAN atau FIRMAN ALLAH?? Dari mana kita hendak mendengar FIRMAN ALLAH atau KATA TUHAN? Tentu sahaja daripada KITAB SUCI agama tersebut kerana kedua-dua kitab itu datangnya daripada ALLAH dan tentulah bebas daripada sebarang kesalahan. Kitab yang diturunkan oleh ALLAH hendaklah dapat merungkai segala persoalan yang timbul sepanjang zaman. Firman Allah:

"Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya." (Surah 4:82)

Selaras dengan zaman ilmu pengetahuan ini, adakah al-Quran dan al-Kitab Kristian dapat mengikuti perkembangan zaman?? Mari kita lihat beberapa perbandingan ayat di antara al-Kitab dengan al-Quran:

Di dalam al-Kitab (Perjanjian Baru):

Ayub 26: 11 - tiang-tiang langit bergoyang-goyang; tercengang-cengang oleh herdikNya.


Mazmur 75: 4 - Bumi hancur dan semua penduduknya; tapi akulah yang mengukuhkan tiang-tiangnya.

Di sini bolehlah kita timbulkan persoalan, adakah mungkin Allah tersalah berfirman atau berkata-kata? Adakah Allah itu tiada sifat MAHA MENGETAHUI? Adakah Tuhan tidak tahu bahawasanya langit tidak mempunyai tiang? Justeru, dari mana datangnya tiang-tiang itu seperti mana yang dijelaskan oleh kedua-dua ayat di atas? Masih sucikah al-Kitab yang diagung-agungkan oleh Kristian? Hendaklah diingat bahawa kesalahan sebegini bukan hanya 100 atau 200 kesalahan, tetapi terlalu banyak sehinggakan jumlah melebihi 1000 kesalahan.

Mari kita lihat pula Firman Allah di dalam al-Quran tentang tiang langit:

Quran Surah 13 : 2 - "Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya"


Satu persoalan di sini, betul atau salah al-kitab Kristian dalam hal ini? Apabila wujud satu titik kecil kesalahan sahaja maka kita sudah boleh cakap bahawa kitab itu sudah tidak suci lagi.

Sampai di sini sahaja dahulu untuk bahagian ini...ia akan bersambung pada bahagian yang akan datang yang akan menyentuh penyembahan Allah atau Yesus Kristus. Bagi yang ingi melempar pendapat dan pertanyaan untuk di buat perbandingan, silalah post di komen. Bersama kita mencari kebenaran ILAHI. Wallahu'alam.

Monday, October 25, 2010

Isu Islamic Fashion Show - Pendapat Zaharudin ft Dr Maza VS Fathul Bari

Pendapat Ulama mana pilihan anda


Zaharuddin:
'Islamic Fashion Show' telah dianjurkan beberapa kali sebelum ini, namun penganjuran ketika itu tidak mendapat sebarang respon dari cendiakawan Islam, mungkin disebabkan fesyen-fesyen yang ditayangkan tidak begitu melampau. Ataupun ia tidak sampai ke pengetahuan golongan ini.

Namun pada tahun 2010, bertempat di sebuah negara bukan Islam, fesyen yang ditayangkan sudah jauh melampaui batasan. Berdasarkan gambar-gambar yang tersiar di media dan internet, pertunjukan fesyen yang dianjurkan adalah 'clear cut' bercanggah dengan Islam dan tidak layak diberi nama 'Islamic'. Malah ia sudah termasuk di dalam kategori mempersendakan Islam.

Kita menyedari, pihak penganjur mensasarkan keuntungan jualan lalu cuba meraih perhatian dan kelainan melalui penganjuran ini. Namun mereka sepatutnya lebih sensitif dalam menggunakan nama ‘Islam’ bagi perniagaan dan program mereka. Cuba bandingkan :-
  • Kita melihat bagaimana kewangan dan perbankan Islam di kawal oleh para ulama sedunia  agar apa yang ditawar benar-benar secocok dengan kontrak-kontrak muamalah Islam, sama ada secara mikro dan makro. Itulah yang sewajarnya dilakukan apabila mereka menggunakan nama ‘Islam’ dalam produk perniagaan dan pembiayaan kewangan mereka.
  • Kita juga dapat melihat sebarang penggunaan tanda halal juga mesti melalui suatu piawaian yang digariskan oleh JAKIM dan badan-badan yang diiktiraf di dalam dan luar negara.
  • Malah penggunaan nama ‘Buffet Ramadhan’ juga dipantau dengan baik sekali oleh pihak JAKIM.
  • Sesebuah unversiti yang ingin menawarkan apa sahaja kursus yang mempunyai label Islam, mereka akan dipastikan oleh lembaga akreditasi agar mempunyai tenaga pengajar bertauliah dan berkelayakan rasmi dalam ilmu Shari’ah. Susunan silibusnya juga mesti dipantau agar tiada yang menyeleweng.
  • Organisasi politik yang ingin meletakkan nama Islam pada parti mereka, perlu mendapat restu majlis raja-raja yang merupakan ketua agama bagi negeri-negeri.
  • Penceramah-penceramah yang ingin berceramah di khalayak awam juga turut dimestikan untuk mendapat tauliah dari jabatan agama Islam negeri.

Namun, dalam kes pertunjukkan fesyen ini, penganjur sewenangnya tanpa mendapat sebarang pengiktirafan dari pihak berkuasa agama dan para ulama, menggunakan nama Islam. Ini jelas satu tindakan yang tidak selari dengan semua item yang disebut di atas. 

  

Pihak penganjur perlu sedar menggunakan label ’Islam’ untuk fashion show mereka adalah tindakan offensive atau menyerang kesucian Islam dan menyakitkan perasaan umat Islam.

Tindakan itu sekaligus menyelewengkan ajaran Islam berkaitan displin pakaian. Ingin saya nasihatkan, kepada penganjur dan semua fashion designer beragama Islam yang terlibat sebelum ini, wajiblah kalian menghentikan penyertaan dalam pertunjukan terbabit di masa akan datang, jika ia masih tidak dikawal. Ia berdasarkan firman Allah :-

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللّهِ يُكَفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلاَ تَقْعُدُواْ مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ 
غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ إِنَّ اللّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا

Ertinya : Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al Qur'an bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki perbincangan yang lain. Karena sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Neraka Jahanam. ( An-Nisa : 140)

Jelas, ayat di atas dan banyak lagi, melarang apa jua unsur yang dianggap membantu menaikkan lagi sesuatu maksiat. Maka, kehadiran dan penyertaan ke majlis tersebut adalah ditegah oleh Allah.

ENGKAR SENDIRIAN & PROMOSI
Saya pasti, akan ada individu yang mencemik bibir dan ‘meluat’ membaca sebarang saranan seperti ini, kononnya ia menyekat sifat keterbukaan dan ‘close minded’. Ingin ditegaskan, jika mereka tidak suka hukum hakam berkaitan aurat, menuduhnya beku, ketinggalan zaman dan kuno serta lebih suka menyanggahinya dan membuka aurat. Biarlah dosa itu kekal di peringkat peribadi mereka, untuk ditanggung secara individu di alam barzakh dan akhirat. Jangan sesekali mempromosinya agar orang lain turut menjadi sepertinya.

Apabila itu dilakukan malah di’organisasi’kan, ia telah memasukkannya ke dalam satu sifat dan dosa yang lebih berat. Dari hanya sebuah dosa biasa, berkembang kepada sifat dan ciri laku kaum munafiq, yang mana sifat kumpulan ini adalah suka merosakkan Islam melalui kata-kata dan tindakan, namun dilakukan dengan menggunapakai label Islam agar objektif mereka terselindung.

Contoh jelas sifat ini boleh dilihat di dalam firman Allah berkaitan penubuhan Masjid Dhirar. Ia adalah adalah nama yang diberikan kepada sebuah masjid yang dibina oleh puak Munafiq di zaman Nabi s.a.w. Masjid tersebut hampir-hampir dialu-alukan oleh Nabi sehinggalah Allah swt menurunkan wahyu melarang Nabi dari mendirikan solat di dalam masjid tersebutFirman Allah swt

وَالَّذِينَ اتَّخَذُواْ مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِّمَنْ حَارَبَ اللّهَ وَرَسُولَهُ مِن قَبْلُ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلاَّ الْحُسْنَى وَاللّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ * لاَ تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُواْ وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ

Ertinya : Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan mesjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: ""Kami tidak menghendaki selain kebaikan."" Dan Allah menjadi saksi bahwa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya) ( At-Taubat : 107)

Allah sendiri menerangkan tujuan dan objektif masjid ini iaitu untuk menimbulkan kemudaratan, kekeliruan kepada umat Islam, dan memecahbelahkan kesatuan umat Islam dengan fitnah-fitnah dan tuduhan mereka sebagaimana yang pernah dilontarkan kepada ummu Mukmini Asiyah r.a.

Dari tindakan Rasulullah menjauhi masjid itu, ini jelas menunjukkan Nabi sendiri menunjukkan sunnah boikot dan menyekat diri dan tentunya para sahabat yang lain dari mendirikan solat di masjid berkenaan. Justeru, majlis pertunjukan fesyen ini adalah persis masjid dhirar, digunakan nama dan label Islam tetapi mengkehendaki kemaksiatan, kemudaratan kepada Islam atau hanya mementingkan ketamakan peribadi tanpa mengira jika ia boleh memudaratkan Islam.

Justeru, ingatan buat  penganjur, penaja, fashion designer dan jemputan, dari sepatutnya hanya terhad satu dosa, jangan sesekali menggandakannya kepada ribuan dan jutaan. Penganjuran fashion show yang dilabel dengan nama Islam seperti ini, sesungguhnya amat merosakkan imej sebenar Islam.

PERTUNJUKAN MELAMPAUI BATAS
Islamic Fashion Show, khususnya yang dianjurkan pada tahun bulan Ogos, 2010 yang lalu, bukan sahaja melampaui batasan penutupan aurat yang diajarkan oleh Nabi. Malah ia juga bercanggah dengan kefahaman sebahagian pendokong ajaran Islam liberal itu sendiri. Saya tidak perlu menyertakan gambarnya di sini kerana semuanya berteraburan dan boleh didapati dengan mudah di media dan internet.
Sebagaimana kita faham, sebahagian pendokong Islam liberal tidak meyakini rambut wanita sebagai aurat, justeru hampir semua mereka sama ada tidak bertudung langsung atau bertudung secara tidak sempurna.

Namun apa yang dipersembahkan di Islamic fashion show itu telah lebih jauh melampaui kefahaman kumpulan itu apabila ia bukan sahaja tidak menutup rambut dengan sempurna malah, menggunakan nama nabi Muhammad di pakaian seksi mereka, memaparkan kaki, betis, belahan buah dada, peha, bentuk tubuh, belakang tubuh dan dada secara terangan dan menamakannya sebagai Islam.

Saya telah menyemak kesohihan gambar-gambar tersebut, danterbukti gambar-gambar yang paling menyeleweng seperti berbaju dengan nama Muhammad, kain singkat, terdedah dada dan yang dinyatakan di atas sememangnya wujud di pesta fesyen 'Islam' di Monaco ituIa bukan super impose atau rekaaan menggunakan teknik fotographi.

Menurut hemat saya tiada pandangan dari mana-mana mazhab Islam yang boleh diguna pakai untuk menghalalkan tindakan tersebut, semuanya pasti mengharamkannya, sama ada kumpulan Wahabi, Salafi, Ahli hadis, Khalafi, Ahbash, Pondok, Pesantren, Syiah, Zohiri, ahli Tasauf dan lainnya.

Saya bimbang selepas ini mereka menggunakan ayat Al-quran di seluar dalam dan bikini rekaan kreatif mereka lalu dipertontonkan kepada umum, menjadi hidangan majlis Islamic fashion show.! Oleh itufashion show ini bukan sahaja salah di sudut pandangan ulama Islam, malah juga salah pada pandangan kumpulan wanita Islam liberal.

Saya sedari ada fashion designer muslim yang menyertai pertunjukan itu merasakan festival ini adalah medan besar untuk melariskan produk masing-masing, menguatkan jenama dan menambah keuntungan perniagaan. Namun mereka perlu sedar, apabila majlis 'gilang gemilang' itu dicemari oleh unsur penghinaan terhadap Islam, majlis sebegitu bukan menambah keuntungan dan berkat perniagaan, malah memalapkan berkat dan menjauhkan peniagaan dari ruh Islam yang sebenarnya. Nabi pernah menegur individu yang berniaga di dalam masjid dengan kata baginda :

إذا رأيتم من يبيع أو يبتاع في المسجد، فقولوا: لا أربح الله تجارت

Ertinya : Apabila kamu melihat seseorang berniaga di dalam masjid, katakan kepadanya : Semoga Allah tidak memberi keuntungan kepada perniagaanmu” ( Riwayat Al-Tirmidzi)
Adakah peniaga muslim yang menyertai pertunjukan fesyen yang menghina Islam ini, ingin kami katakan demikian kepada perniagaanmu?. Sudah tentu ia tindakan yang valid kerana pertunjukan itu lebih berat mudaratnya berbanding meniaga di dalam masjid. Kedua-duanya sama dari sudut menjauhkan manusia dari Allah di tempat yang sepatutnya berzikir. Fikirkan..

JATUH MARUAH
Tidak sedarkah mereka, penganjuran seperti ini sebenarnya menjatuhkan maruah dan kedudukan tinggi wanita. Di manakah pejuang martabat wanita?. Adakah mereka layak dijadikan bahan tontonan lelaki dengan pakaian pelik atas nama fesyen.

Sukakah mereka, penonton lelaki ibarat raja yang dihidangkan pemandangan hamba-hamba wanita dengan pelbagai pakaian, mendedahkan kecantikan masing-masing?.

Lebih pelik, dimanakah isteri-isteri kepada suami yang menghadiri pertunjukan itu. Adakah dia bahagia apabila suaminya hadir dan membandingkan tubuhnya dengan tubuh ramping para model wanita yang tiada malu itu?.

Kalau kita merasa benci dan marah apabila pelukis kartun Denmark mencaci Nabi melalui kartunnya
Ahli parlimen Belanda menghina Al-Quran melalui filem pendeknya, 'Fitna',

Tentera Amerika menghina Islam dengan filem, dokumentari dan serangan roketnya,
Salman Rushdi menghina Nabi melalui tulisannya,

Kini tindakan menganjur, menjaya dan menyertai pertunjukan fesyen ini juga adalah sama kategorinya. 

Semuanya adalah sangat ‘menyerang’ kesucian Allah, Nabi dan Islam, menyelewengkan manusia dari Islam sebenar dan secara sedar atau tidak, menghina Islam.

MENGAPA BARU SEKARANG?
Ada yang bertanya, mengapa sekarang baru bising-bising sedangkan program ini telah berlangsung tahun 2009 bertempat di sebuah hotel  di ibu kota, manakala pada bulan Ogos 2010 yang lalu pula dilangsungkan di Monte Carlo, Monaco.

Jawapnya, yang salah tetap perlu ditegur jika disedari, tidak kira sama ada lewat atau cepat. Ia perlu agar ia tidak diulangi pada masa akan datang. Khususnya apabila founder dan pengerusi Islamic Fashion Festival ini adalah seorang lelaki yang saya rasa beragama Islam dari Malaysia.

Melihat ia sudah hampir dijadikan upacara tahunan dan pertunjukannya pada tahun 2010 yang lalu menampilkan fesyen yang semakin melampau (berbanding sewaktu festival 24 November 2009). Umat Islam yang prihatin, perlu menyuarakan bantahan ini juga agar penganjur membatalkan road show festival ini atau paling tidak, mengugurkan nama ‘Islam’ pada festival mereka.

Menurut jadualnya ia akan dilaksanakan lagi tahun hadapan di Turki pada 10 februari 2011.

Kita berharap akan ada individu dan pimpinan prihatin yang mempunyai hubungan dengan Perdana Menteri Turki dapat berbuat sesuatu, sebelum Islam dihina sekali lagi oleh penganutnya, disorak sorai oleh musuh-musuh Islam seluruh dunia. Tidak perlu lagi nama nabi Muhammad dan Islam dibusukkan oleh musuh Islam di Denmark atau Belanda, Amerika, Israel dan lainnya. Kini hanya perlukan orang Islam sendiri.
Inikah "Islamic Fashion Show"

Antara gambar sekitar "Islamic Fashion Show"

Orang kuat disealik "Islamic Fashion Show"
Dr Asri: 
Saya berada di Qatar ketika ini. Pihak media bertalu-talu menghubungi saya bertanya pendapat tentang hal ini. Maka, saya ingin menyebut secara ringkas beberapa perkara berikut;

1. Berdasarkan apa yang ditonjol, jelas bahawa mengaitkan fesyen-fesyen tersebut dengan Islam adalah satu penghinaan. Sama sekali ia tidak islamik. Penganjur amat salah jika menyangka Islamic design dan Islamic fashion hanya berkaitan dengan penonjolan tulisan yang berunsur Islamik tanpa memahami soal etika dan hukum-hakam syarak.

2. IFF boleh memberikan gambaran salah yang serius mengenai pakaian dalam Islam. Ia juga melambang kecelaruan fikiran mereka yang terlibat.

3. Islam tidak menghalang fesyen untuk wanita, tetapi mesti dengan prinsip dan etika yang tersendiri. Penganjuran fesyen pakaian itu tidak salah, tetapi konsep dan pengisiannya IFF itu salah disebabkan tidak memahami prinsip dan etika dalam hal ini.

4. Mereka yang terlibat hendaklah memohon maaf kepada umat Islam dan mengisytiharkan kepada awam bahawa yang dianjurkan itu bukanlah ‘Islamik’.

5. Bahaya untuk isteri pemimpin utama negara Islam terlibat dengan hal-hal yang seperti ini. Ia akan memberikan mesej Islam yang salah kepada dunia, apatah lagi Malaysia dianggap salah sebuah negara Islam yang penting.

6. Kepimpinan negara akan rosak jika isteri-isteri pemimpin utama ini cuba menonjolkan diri sehingga tidak teliti dan tidak lagi memikir buruk baik sesuatu tindakan. Perbuatan seperti ini akan merosakkan kepimpinan sesebuah negara yang majoritinya muslim.

7. Saya mencadangkan kepada mereka yang berminat menganjurkan pertunjukan ‘Islamic fashion’ mewujudkan penasihat syariah terlebih dahulu. Mereka boleh menjemput ilmuwan yang lebih terbuka dan fleksibel tetapi mengikut prinsip-prinsip umum syarak.

-Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Doha, Qatar

Fathul Bari Mat Jahya


Ulama muda Umno Fathul Bari Mat Jahya berkata pendekatan pembangkang mengecam tindakan Rosmah Mansor menaungi Festival Busana Islam (IFF) - yang mencetuskan kontroversi - melalui tersasar daripada konsep agama sebagai nasihat.

Mempertahankan isteri perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Fathul Bari berkata, pembangkang sengaja membesar-besarkan isu itu sambil meletakkan sepenuhnya kesalahan atas bahu Rosmah tanpa menyiasat terlebih dahulu perkara itu.

"Sepatutnya bantahan itu ditujukan kepada penganjur sedangkan beliau (Rosmah) penaung semata-mata," katanya.

Berucap pertama kali di perhimpunan agung Umno hari ini, Fathul Bari berkata, manusia sentiasa dituntut meneliti terlebih dahulu sama ada sesautu kesilapan itu dilakukan dengan sengaja atau pun tidak.

"Tanpa diteliti hal tersebut, mereka terus menyerang dan menghukum. Adakah ini sikap orang Islam yang mengakui membawa hukum allah. Sedangkan jelas perbuatan seperti ini tersasar Islam yang mengajar etika menasihati seseorang," katanya.

Tuesday, October 19, 2010

"Muallaf" Menurut Sisi Pandangan Fiqh Zakat (Siri 2)




Mengenai asnaf Muallaf Qulubuhum, Imam Al-Tabari di dalam menafsirkan ayat 60 Surah Al-Taubah berkata bahawa Allah SWT menjadikan sedekah (zakat) dalam dua maksud iaitu, pertama bagi menampung keperluan orang-orang Islam dan keduanya bagi membantu Islam dan memperkuatkannya. Dalam usaha membantu Islam dan memperkuatkannya zakat diberikan samada kepada golongan fakir miskin dan kaya kerana ia diberikan bukan atas dasar keperluan kepada zakat (seperti orang fakir dan miskin memerlukannya) tetapi ia diberikan seperti kepada orang yang berjihad di jalan Allah. Ia diberikan samada kepada kaya atau miskin bagi tujuan berperang dan bukannya memenuhi keperluan hidupnya. Begitulah bagi golongan Muallaf Qulubuhum, mereka diberikan zakat meskipun kaya bagi membaiki keadaan agama Islam mereka dan supaya menjadi pendokongnya[1].

Berkenaan dengan makna Muallaf Qulubuhum pula, Hassan Ayub (1973) berpendapat ia adalah merujuk kepada golongan yang dijinakkan hati samadan kafir atau Islam. Bagi orang kafir zakat diberikan bukan kerana mereka fakir tetapi tujuan diberikan zakat kepada mereka adalah supaya mereka dapat menerima Islam dan mengelakkan kemudaratan yang dilakukan mereka terhadap Islam. Manakala bagi mereka yang memeluk Islam zakat diberikan bertujuan untuk kebaikan mereka yakni memperkukuhkan pegangan Islam mereka[2].

Muhammad ’Ali Al-Sobuni (1997) pula berpendapat bahawa Muallaf Qulubuhum ialah mereka yang diberikan zakat oleh Rasulullah SAW dengan tujuan supaya menjinakkan hati mereka untuk masuk Islam atau supaya menetapkan diri mereka dalam Islam[3]. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Sofwan bin Umaiyah bahawa dia berkata: Nabi SAW telah memberikanku zakat, sedangkan dia adalah orang yang paling aku benci. Baginda berterusan memberikanku zakat sehingga dia menjadi orang yang paling aku kasihi”[4].

Muhammad ’Uqlah (1985) berpendapat bahawa golongan ini diberikan zakat adalah demi kemaslahatan dakwah dan negara Islam. Ini kerana dengannya dapat meningkatkan lagi kekuatan Islam dan mendapat sokongan dari orang Islam dan bukan Islam seterusnya mampu melemahkan musuh Islam[5].

Secara umumnya asnaf Muallaf Qulubuhum terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

  • Pertama: Golongan yang diberikan zakat oleh Nabi SAW bagi tujuan menjinakkan hati mereka agar mereka dan kaum mereka memeluk Islam.
  • Kedua: Golongan yang sudah masuk Islam, tetapi masih lemah Islamnya, oleh itu diberikan zakat bagi tujuan menguatkan Islam mereka.
  • Ketiga: Golongan kafir yang diberikan zakat bagi mengelakkan kejahatan mereka terhadap Islam.
Para ulama berbeza pendapat dalam soal penerusan agihan zakat kepada asnaf Muallaf Qulubuhum pada zaman ini kepada dua pendapat iaitu:

  • Pertama: Asnaf Muallaf Qulubuhum diberikan zakat kerana maksud dari pemberian tersebut pada zaman Rasulullah SAW masih wujud sehingga ke hari ini.
  • Kedua: Tidak diberikan zakat kepada asnaf ini kerana para khulafa Al-Rasyidin selepas baginda SAW dan para sahabat tidak memberikannya zakat. Pendapat kedua ini adalah pendapat jumhur ulama iaitu Mazhab Maliki, Al-Syafie dan Abu Hanifah. Dalil mereka adalah berdasarkan kepada tindakan Saidina Umar Al-Khattab r.a yang tidak memberikan zakat kepada asnaf ini dan ianya dipersetujui oleh Khalifah Abu Bakar Al-Siddiq r.a. Ini berdasarkan dalil berikut:
روي أن عيينة بن حصن والأقرع بن حابس وعباس بن مرداس، جاءوا إلى أبي بكر الصديق، وطلبوا منه نصيبهم – من سهم المؤلفة قلوبهم- فكتب لهم به كتابا....
Diriwayatkan oleh ’Uyainah bin Hisn, Al-’Aqra’ bin Habis dan ’Abbas bin Mirdas di mana mereka telah bertemu dengan Abu Bakar Al-Siddiq r.a dan mereka meminta darinya (zakat) dari asnaf Muallaf Qulubuhum. Lalu (Abu Bakar) menulis surat untuk mereka. Kemudian mereka menemui Umar Al-Khattab r.a dan menyerahkan surat tersebut. Namun Umar enggan memberikan zakat kepada mereka dan beliau mengoyak surat tersebut sambil berkata: Ini (zakat) diberikan oleh Rasulullah SAW kepada kamu adalah sebagai menjinakkan hati kamu kepada Islam. Jika kamu tetap dengan Islam, dan sekiranya tidak maka antara kami dan kamu adalah pedang!! Lalu beliau membacakan firman Allah Taala:

وقل الحق من ربكم ومن شاء فليؤمن ومن شاء فليكفر) ﭽ ﭼ الكهف: ٢٩ )
Maksudnya: (( dan Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah Yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa Yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa Yang mahu kufur ingkar, biarlah Dia mengingkarinya...)).

Kemudian mereka kembali bertemu Abu Bakar r.a dan berkata kepadanya: Wahai Amir Al-Mukminin, apakah kamu Khalifah atau Umar? Engkau tuliskan untuk kami surat, kemudian dikoyakkan oleh Umar. Jawab Abu Bakar: Dialah khalifah kalau dia mahu[6].

Umar bin Al-Khattab r.a juga pernah berkata:
"كنا نؤلف حين كان الإسلام في ضعف، أما الآن وقد عز وقويت شوكته فلا حاجة بنا للتأليف"
Maksudnya: “Kami menjinakkan hati ketikamana Islam lemah, adapun sekarang ia telah muliah dan kuat, maka tiada keperluan lagi untuk menjinakkan (dengan zakat)”.

Mereka yang berpihak kepada pendapat kedua berpendapat bahawa dalil di atas menunjukkan bahawa Khalifah Abu Bakar r.a telah bersetuju dengan tindakan Umar Al-Khattab r.a dan menurut mereka tiada sebarang riwayat yang menyatakan bahawa para sahabat termasuk Uthman Al-Affan r.a dan Ali r.a memberikan zakat bagi asnaf berkenaan[7].

Pendapat pertama pula ialah pandangan di kalangan Mazhab Hanbali yang melihat bahawa tindakan Umar Al-Khattab r.a dan para sahabat bukanlah pemansuhan kepada asnaf tersebut. Ia adalah penilaian semasa adakah wujud atau tidak keperluan memberikan zakat kepada asnaf berkenaan ketika itu. Pada zaman Umar Al-Khattab beliau melihat bahawa sebab pemberian kepada asnaf Muallaf Qulubuhum iaitu bagi menjinakkan hati sudah tidak wujud. Kerana Islam pada pendapatnya sudah kuat maka tidak perlu diberikan zakat kepada asnaf ini. Namun begitu bahagian zakat bagi asnaf ini tetap ada sepertimana disebut di dalam Al-Quran dan tidak dimansuhkan. Justeru jika wujudnya kembali sebab untuk menjinakkan hati bagi asnaf Muallaf Qulubuhum iaitu bagi memperkukuhkan dan mempertahankan Islam, maka golongan ini bolehlah diberikan zakat semula sepertimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Rujukan:

[1] Al-Tabari, Jami’ Al-Bayan Fi Takwil Al-Quran, jilid 14 hlm 316.
[2] Hassan Ayub, Al-Zakah Fi Al-Islam,1973, Dar Al-Qalam Kuwait, hlm 107.
[3] Muhammad Ali Al-Sobuni, Faridhah Al-Zakah Fi Al-Islam, 1997 Dar Al-quran Al-Karim, Beirut. hlm 107.
[4] Ibnu Jarir Al-Tobari, Jami Al-Bayan, jld10 hlm 157.
[5] Muhammad ‘Uqlah Al-Ibrahim, Al-Tatbiqat Al-Tarikhiyyah Wa Al-Mu’asirah Li Faridhah Al-Zakah, Dar Al-Dhiya, Beirut, hlm 79.
[6] إعلاء السنن 9/72 والذخيرة للقرافي 3/146.
[7] Muhammad Ali Al-Sobuni, Faridhah Al-Zakah Fi Al-Islam, hlm 109.

Hinakah Menjadi Muallaf (Siri 1)




Oleh: Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Istilah mualaf atau orang yang memeluk Islam disebut dalam al-Quran. Ini bermakna, menjadi mualaf atau gelaran mualaf itu adalah satu kemuliaan kerana mereka ibarat kanak-kanak yang baru lahir, bersih daripada dosa dan noda. Saya tidak kisah sama ada mualaf ini hendak dipanggil saudara baru, saudara muslim, saudara kita dan lain-lain gelaran. Apa yang penting kebajikan dan nasib mualaf terbela.

Mualaf bukanlah golongan kelas kedua atau ketiga, tetapi mereka adalah golongan istimewa yang perlu diberikan perhatian. Malangnya, golongan ini selalu dilupakan walaupun diingatkan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang menguruskannya dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. (Surah At-Taubah: 60)

Perlu diingatkan bahawa, Islam bermula dengan mualaf. Setelah Nabi Muhammad SAW diangkat oleh Allah SWT menjadi Rasul, maka seluruh umat Islam yang mengikuti perjuangan Rasulullah SAW adalah bergelar mualaf, kecuali Saidina Ali Abi Talib, kerana beliau memeluk Islam ketika masih di bawah umur. Contoh Saidina Ali ini jelas menunjukkan betapa remaja boleh berperanan lebih jauh dan menjadi aset kepada agama, bangsa dan negara, sekiranya mereka benar-benar insaf akan tanggungjawab dan memahami penciptaannya oleh Allah SWT, bukan sekadar main-main.

Peranan dan penglibatan mualaf di zaman awalan Islam memang tidak boleh dinafikan sama sekali. “Mualaf-mualaf” ini melibatkan diri secara aktif bersama-sama Rasulullah SAW. Perjuangan ini disambung oleh generasi seterusnya, sehinggalah Islam berkembang ke seluruh dunia, tidak ketinggalan turut sampai ke Alam Melayu.

Orang Melayu yang dahulunya beragama Hindu-Buddha, turut menjadi mualaf apabila mereka menerima Islam sebagai cara hidup, tidak kira dalam kategori usia apa sekalipun. Justeru, istilah mualaf janganlah dipandang hina kerana kita semua adalah generasi mualaf. Jika kita menghina mualaf, bermakna kita menghina diri kita sendiri kerana kita semua adalah generasi mualaf.

Perkara ini perlu diberikan perhatian serius oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Tidak mustahil, anak kita suatu hari nanti akan turut berkahwin dengan mualaf. Ketika itu baru kita tahu susah senang menjadi mualaf. Cuba kita letak diri kita pada tempat mereka. Baru tahu langit itu tinggi atau rendah.

Mualaf berhak mendapat apa-apa yang sepatutnya menjadi hak mereka, tanpa mengira usia, warna kulit, latar belakang, kaya atau miskin. Surah At-Taubah, ayat 60 seperti yang dipetik di atas, tidak menjelaskan mualaf itu kaya atau miskin, muda atau tua, yang penting mereka layak dan berhak untuk dibantu melalui wang zakat, di samping bimbingan dan tunjuk ajar. Perbuatan menghina atau memandang rendah terhadap mereka dilarang sama sekali kerana mereka mulia di sisi Allah SWT.

Jika mualaf itu kaya, tidak bermakna mereka tidak layak atau tidak perlu diberikan perhatian dan bantuan. Mereka tetap layak mendapat bantuan berasaskan asnaf zakat. Sama ada mereka mahu menerima atau tidak, itu persoalan lain. Bantuan tersebut perlu disalurkan sebagai tanda mengambil berat. Saya yakin mualaf yang berada (kaya) tidak akan menerima wang tersebut, sebaliknya akan mengembalikannya kepada yang berhak. Yang penting ialah “sikap ambil berat dan follow up”.

Inilah sikap yang sering kali terlepas pandang atau kita sengaja buat-buat tidak faham. Kita jangan hanya seronok melihat jumlah wang zakat yang terkumpul untuk dipuji oleh pihak-pihak tertentu bahawa kita pandai mengutip dan mengumpulkan wang zakat. Sedangkan cara wang zakat itu diuruskan dan dibahagikan adalah amat menyedihkan.

Sering kali kebajikan mualaf diabaikan. Mereka terpaksa berhadapan dengan kerenah birokrasi, hanya untuk mendapatkan sedikit bantuan RM50 atau RM100, apatah untuk mendapat lebih daripada itu. Sedangkan kita telah dimaklumkan bahawa kutipan zakat yang di Selangor dan Wilayah Persekutuan sahaja, hampir mencecah satu billion di setiap negeri tersebut, saban tahun. Bayangkan berapa banyakkah zakat yang terkumpul? Ini tidak termasuk negeri-negeri lain. Pendek kata, tidak akan ada seorangpun fakir miskin atau mualaf yang merempat di negara ini, jika wang zakat dibahagikan dan diuruskan dengan baik dan betul kepada asnaf yang memerlukan?

Kita tidak lagi boleh menyusun kelayakan penerima bantuan zakat mengikut turutan seperti

(1) fakir
(2) miskin
(3) amil
(4) mualaf
(5) hamba
(6) orang yang berhutang
(7) orang yang berjuang di jalan Allah, dan
(8) orang yang bermusafir kerana Allah SWT
Pada hemat saya, ada kalangan asnaf ini sudah tidak memerlukan bantuan lagi. Tidakkah boleh kita meletakkan bantuan kepada mualaf sama tarafnya dengan fakir miskin lain yang jarang sekali kita terlepas pandang? atau salahkah kita meletakkan mualaf dalam senarai prioriti yang utama?

Kita sedia maklum bahawa golongan fakir miskin telah ditangani oleh banyak pihak atau agensi. Antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, wakil rakyat dan sebagainya. Sedangkan mualaf begitu sukar untuk mendapatkan bantuan. Kadang kala kita lihat amil-amil yang dilantik membantu mengutip zakat terdiri daripada mereka yang berada. Tidakkah lebih baik kiranya amil-amil itu dilantik daripada kalangan mualaf yang tidak bernasib baik? Sekurang-kurangnya, kita telah memberikan peluang pekerjaan kepada mereka di samping memenuhi tuntutan ajaran Islam membantu asnaf ini. Tidakkah ia lebih menepati konsep zakat yang sebenarnya?

Saya berasa teramat sedih, bila muallaf datang mengadu nasib malang mereka. Hidup merempat dan berada dalam keadaan serba kedaifan. Apatah lagi jika mualaf itu seorang wanita menjadi sebatang kara setelah memeluk Islam kerana dihalau oleh ahli keluarganya. Ke manakah haluan nak dituju? Terdapatkah rumah perlindungan untuk muallaf seperti ini? Jawapannya, setakat ini masih tidak ada lagi wang zakat yang digunakan untuk membina rumah perlindungan mualaf. Rumah perlindungan untuk orang lain, tidak terkira banyak.

Akibatnya, mualaf-mualaf terbiar ini berkeliaran meminta sedekah. Ada kalangan mereka yang dihina, dipandang rendah dan ditohmah disebabkan oleh sifat meminta-minta ini. Benar, sikap meminta-minta ini memang tidak digalakkan dalam Islam. Jika ditanya kepada sesiapapun, tidak ada yang mahu menjadi peminta sedekah kerana ia amat memalukan. Tetapi kenapa ia masih berlaku? Kerana mualaf tidak ada pilihan. Hidup terbuang setelah memeluk Islam.

Persoalannya, kenapa boleh berlaku perkara sedemikian? Ke manakah wang zakat yang dikutip saban tahun? Tidakkah wang ini perlu dibelanja untuk kepentingan muallaf dan asnaf yang lain? Adakah mualaf ini dianggap tidak penting? Bagaimana Islam boleh berkembang jika tidak ada mualaf? Adakah kita mahu menunggu mualaf-mualaf ini menuntut hak mereka di di akhirat nanti? Ingat, wang zakat bukan disimpan untuk hiasan atau diperagakan. Wang zakat adalah untuk dibelanja kepada asnaf yang memerlukan.

Berdasarkan pengalaman, sudahlah bantuan kewangan kepada mualaf diabaikan, malahan kadang kala mereka juga yang sering kali dipandang hina oleh mereka yang menguruskan bantuan kepada mualaf seperti pejabat-pejabat agama negeri. Muallaf seringkali dipersepsikan memeluk Islam, kerana mengharapkan bantuan atau tidak ikhlas. Persoalan saya lagi, apakah kita yang menentukan mereka ikhlas atau tidak? Bukankah kerja kita meraikan dan membimbing mereka? Kenapa perlu kita pertikaikan niat mereka? Kenapa kita terlampau berkira bila berhadapan dengan mualaf? Tetapi tidak berkira dalam soal pembaziran yang amat jelas kelihatan?

Besar sangatkah bantuan yang kita berikan sebanyak RM 50 atau RM 100 itu? Tidak bolehkah kita membantu muallaf ini dengan memberikan mereka tempat tinggal atau menghadiahkan mereka sebuah rumah kos rendah pada harga lebih kurang RM20,000.00? Berapalah sangat jumlah RM20,000.00 ini berbanding dengan hampir satu billion wang yang dikutip.

Pada hemat saya, jika kita bantu semua mualaf yang berjumlah lebih daripada 100,000 di negara kita ini, dengan kadar seorang sebuah rumah kos rendah, institusi zakat tidak akan menjadi miskin. Malah masa depan Islam semakin cerah di negara ini. Islam akan dipandang tinggi. Kita akan lihat peningkatan bilangan yang memeluk Islam.

Inilah juga salah satu strategi missionari Kristian. Menggunakan wang sebagai umpan untuk membeli akidah orang Islam dan bukan Islam. Ini bukanlah bermakna kita mahu mengikut jejak mereka atau membeli akidah orang lain, tetapi faktor kewangan memainkan peranan penting juga dalam dunia dakwah. Kenapa hari ini semakin ramai orang bukan Melayu memeluk agama Kristian?

Jawapannya, mudah. Orang Kristian tidak pernah pertikaikan niat mereka yang ingin memeluk Kristian. Malahan, mereka diraikan, di samping bantuan kewangan tidak pernah putus. Inilah perkara yang berlaku di kampung-kampung orang Asli. Missionari Kristian bergerak dengan kedudukan kewangan yang mantap. Hartawan-hartawan mereka berkorban untuk missionari Kristian. Bukan macam kita hari ini, ada wang sibuk mencari isteri yang glamour dari kalangan artis, membeli gelaran Tan Sri dan Datuk dan berlagak dengan kenderaan dan rumah mewah. Hidup dalam serba kemewahan dan pembaziran atau nafsi-nafsi. Sedangkan ada orang lain yang menagih simpati seperti muallaf tidak dihiraukan. Ingat, dalam harta kita, ada hak orang lain, sebab harta adalah milik Allah SWT, bukan milik kekal kita walaupun yang mengusahakannya. Dengan sebab itu, institusi zakat perlu berperanan. Adakah adil wang zakat dikutip setiap tahun, sedangkan bantuan mualaf hanya diberi sekali seumur hidup? Terbelakah nasib mualaf?

Perlu diingatkan, mualaf merupakan aset berharga kepada perkembangan syiar Islam, apatah lagi mereka yang masih muda remaja. Bayangkan, jika jejak langkah mualaf ini turut disertai oleh ahli keluarga mereka selepas itu. Bermakna, bilangan mualaf akan bertambah berganda-ganda. Adakah kita terfikir tentang perkara tersebut? Kenapa sedikit bantuan itu terlampau dikira?

Mualaf tidak boleh dibiarkan hidup merempat setelah mereka menerima Islam. Malangnya, setakat ini pusat latihan khas untuk mualaf pun masih belum ada. Bayangkan bagaimanakah muallaf belia remaja ini hendak pergi lebih jauh jika latihan dan ilmu mereka tidak bertambah setelah memeluk Islam.

Justeru, sudah sampai masanya mualaf diberikan perhatian yang amat serius. Kepemimpinan negara khasnya dan masyarakat umumnya, perlu disedarkan agar meletakkan martabat mualaf di tempat yang sewajarnya. Mualaf tidak boleh dipandang hina. Jika mereka memerlukan latihan, berikanlah latihan, jika mereka kurang ilmu, maka berikanlah ilmu. Jika mereka memerlukan apa-apa jua bantuan, berikanlah kerana di situ ada hak mereka. Wang zakat yang dikumpulkan mesti dibelanjakan untuk mereka. Jika tidak, kita akan disoal oleh Allah SWT di akhirat nanti.

Saya sudah beberapa kali mencadangkan agar mualaf mesti mempunyai perwakilan dalam Dewan Negara. Mereka perlu dilantik menjadi senator. Sebenarnya, bukanlah jawatan yang dikejar mereka, tetapi suara mereka perlu didengar. Ingatlah, mualaf merupakan aset besar kepada perkembangan syiar Islam. Malangnya, tidak ramai yang dapat melihat akan hakikat ini.

Kesimpulannya, hinakah menjadi mualaf? Jawapannya tidak. Apa yang saya tahu, martabat mualaf sentiasa terangkat pada zaman Rasulullah SAW. Mereka adalah ahli syurga, perjuangan mereka ibarat singa di siang hari dan malamnya tidak pernah putus berkasih dengan Allah SWT. Begitulah mulianya mualaf zaman Nabi di sisi Allah SWT dan RasulullahNya. Hari ini kita adalah generasi mualaf, sama ada baru atau lama. Apakah ciri-ciri ’mualaf zaman Nabi’ ada pada mualaf hari ini? Tepuk dada tanya iman. Kepada para mualaf, buktikan kepada dunia bahawa kita bukan jenis manusia meminta-minta. Kalau dahulu kita meminta-minta, menjadi penerima zakat, buktikan pada hari ini kita pula menjadi pemberi zakat. Kalau dahulu belajar, kini mengajar. Kalau dahulu sebelum Islam kita miskin, kini menjadi kaya setelah memeluk Islam kerana Islam mengajar kita berdikari. Menjadi teladan kepada yang lain. Berubah menjadi lebih baik setelah memeluk Islam. Saya yakin kita akan menjadi aset kepada Islam dan Allah SWT akan memberi ganjaran yang sewajarnya.

Monday, October 18, 2010

Bajet 2011...Dilema Bajet Oh Bajet...

Pembentangan bajet 2011 telah pun dibacakan oleh Perdana Menteri kita pada 15 Oktober 2010. Bertemakan Transformasi Ke Arah Negara Berpendapatan Tinggi, bajet 2011 dibentangkan dengan jayanya. Namun, adakah bajet yang dibentangkan tersebut mengikut atau senada dan seirama dengan tema yang dicanang-canangkan? Garu-garu kepala, fikir-fikirkanlah...di sini saya sertakan laporan penuh tentang bajet 2011 ni...



@Pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak
15 Okt   12.49pm
@Bajet 2011 kali ini bertemakan Transformasi Ke Arah Negara Berpendapatan Tinggi
15 Okt   3.45pm
@Pembukaan bajet strategi pertama adalah mendaya kembali pelaburan swasta.
15 Okt   4.10pm
@Fokus pada pembangunan strategik berimpak tinggi, Projek MRT dengan kos pelaburan swasta kira-kira 40 billion yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2020, pembangunan tanah lembaga getah Malaysia, dan pembinaan menara 100 tingkat yang tertinggi di Malaysia.
15 Okt   4.28pm
@Pasaran Modal Islam akan terus diunggulkan
15 Okt   4.30pm
@Yayasan Amanah Bumiputera akan melancarkan Skim Amanah Hartanah Bumiputera dengan saiz satu billion ringgit dan patuh syariah
15 Okt   4.33pm
@Dana pencen swasta: pelepasan cukai pendapatan sehingga 6 ribu ringgit sedia ada bagi caruman pekerja kepada KWSP.
15 Okt   4.34pm
@857 juta ringgit disediakan untuk syarikat yang melabur dalam aktiviti E&E terumata di Pulau Pinang & Kulim High-Tech Park di Kedah
15 Okt   4.35pm
@146 juta ringgit di peruntukkan untuk industri minyak, gas, dan tenaga yang merupakan antara penyumbang utama kepada pendapatan ekonomi negara.
15 Okt   4.37pm
@Dalam menyuburkan sektor pertanian, kerajaan memperuntukkan 3.8 billion ringgit bagi tahun 2011
15 Okt   4.40pm
@Merancakkan industri pelancongan: antaranya 85 juta ringgit untuk pembinaan hotel & resort peranginan di kawasan pedalaman yang berpotensi. 50 juta untuk membina laluan pejalan kaki di kawasan lingkaran KLCC ke Bukit Bintang
15 Okt   4.44pm
@Meningkatkan potensi industri teknologi maklumat dan ICT: 1119 Juta ringgit di peruntukkan untuk program MY Creative Content, melanjutkan pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan jalur lebar selama 2 tahun.
15 Okt   4.47pm
@Telifon bimbit biasa dikenakan cukai 10 peratus manakala telifon bimbit yang mempunyai aplikasi seperti internet atau PDA, dikecualikan cukai jualan. bagi tujuan penyelarasan, cukai jualan dikecualikan ke atas semua jenis telefon bimbit.
15 Okt   4.48pm
@91 juta ringgit untuk pembangunan modal insan dalam industri perkhidmatan penyelenggaraan, baik pulih, dan rombak & rawat atau MRO, program latihan kejuruteraan aerospace dan aeronautical.
15 Okt   4.50pm
@Pembangunan koridor dan wilayah dengan bajet 850 juta ringgit.
15 Okt   4.51pm
@229 juta untuk projek Iskandar Malaysia – untuk membina jalan, kawasan perumahan, menyediakan & memperbaiki perkhidmatan pengakutan awam
15 Okt   4.52pm
@Projek yang di jangka siap dalam tahun 2011 adalan Newcastle University Medicine Malaysia, Chelsea Factory Outlet, serta Legoland dan Marlbrough College pada tahun 2012.
15 Okt   4.53pm
@Industri Kreatif: 200 juta ringgit di sediakan untuk perolehan hasil kreatif seperti filem, drama & dokumentri keluaran tempatan
15 Okt   4.54pm
@Kerajaan mencadangkan cukai perkhidmatan dikenakan ke atas perkhidmatan penyiaran berbayar
15 Okt   4.55pm
@Memperkukuhkan kedudukan kewangan negara dengan memantapkan kutipan hasil dan memastikan perbelanjaan secara berhemat. Ini termasuk menekankan nilai value-for-money dan value management
15 Okt   4.55pm
@29.3 billion ringgit untuk kementerian pembelajaran, 10.2 billion ringgit untuk kementerian pengajaran tinggi dan 627 juta ringgit untuk kementerian Sumber Manusia – khas untuk pembangunan modal insan
15 Okt   4.56pm
@Menubuhkan Talent Corp di bawah jabatan Perdana Menteri pada awal tahun 2011 untuk menambah bilangan tenaga kerja yang berbakat dan berkualiti
15 Okt   4.57pm
@6.4 billion untuk menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profession guru. 213 juta ringgit lagi di bajet sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi.
15 Okt   4.58pm
@111 juta untuk projek PERMATA (Projek bini PM punya da...)
15 Okt   4.59pm
@250 juta ringgit untuk sekolah bantuan modal agama, sekolah jenis kebangsaan cina, sekolan kebangsaan tamil, sekolah bantuan modal mubaligh, sekolah bantuan kerajaan seluruh negara.
15 Okt   5.00pm
@Kerajaan setuju membiayai bantuan per kapita untuk sekolah sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan 95 juta ringgit
15 Okt   5.00pm
@Biasiswa kepeada guru serta tenaga pengajar yang ingin melanjutkan pelajaran 576 juta ringgit
15 Okt   5.00pm
@213 juta ringgit di peruntukan abgi mengangkat tinggi penguasaan bahasa malaysia, bahasa inggeris & memperkemas kukurikulim.
15 Okt   5.02pm
@Memperkasa Pengajian Tinggi: Menambah peratusan akademik berkelulusan PHD denagn peruntukan 20 juta ringgit
15 Okt   5.02pm
@Menambah baik IPTA & pensyarah boleh di pertimbangkan kenaikkan pangkat ke pringkat tertinggi gred turus.
15 Okt   5.02pm
@60 juta ringgit bagi mempergiatkan lagi Program Industrial Skill Enhancement Programme di pusat latihan negeri.
15 Okt   5.03pm
@220 juta untuk siswazah jurusan lain dan 50 juta ringgit untuk Multimedia Development Corporation untuk melatih graduan dalam bidang ICT.
15 Okt   5.03pm
@474 juta ringgit untuk golongan bukan siswazah
15 Okt   5.04pm
@Program Latihan 1 Malaysia sebanyak 500 juta ringgit khas untuk menambah ilmu pengetahuan melalui penigkatan kemahiran & mempelajari kemahiran baru
15 Okt   5.05pm
@Meningkatkan produktiviti pekerja
15 Okt   5.05pm
@Kadar dan mekanisme penetapan gaji minimum: 500 hingga 700 ringgit sebulan. Dengan kenaikkan ini, pendapatan keseluruhan pengawal keselamatan termasuk elaun adalah seribu ringgit sebulan berkuata kuasa 2011
15 Okt   5.06pm
@Memperluas penglibatan wanita dalam ekonomi – 30 juta ringgit untuk program inkubator Kemahiran Ibu Tunggal dan mengadakan Anugerah Perdana Usahawan dan Tokoh Aktivis Wanita sempena hari wanita 2011
15 Okt   5.08pm
@Kerajaan memberi fleksibiliti untuk tempoh cuti bersalin bergaji penuh tidak melebihi 90 hari berbanding 60 hari sebelum ini
15 Okt   5.09pm
@Pembangunan sukan negara: 356 Juta Ringgit unruk pengurusan aktiviti sukan
15 Okt   5.10pm
· Menubuhkan Akademi Bola Sepak di Pahang dengan peruntukan 20 Juta ringgit
15 Okt   5.10pm
@Bagi tahun 2011 kerajaan memperuntukkan 1.2 billion ringgit kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & masyarakat untuk menjalankan program berbentuk kebajikan & kemasyarakatan
15 Okt   5.12pm
@Meningkatkan pemilikan rumah – 568 juta ringgit disediakan bagi membina 300 unit kediaman di bawah projek bantuan perumahan bandar, 79 ribu unit di bawah program perumahan rakyat dan 8 ribu unit di bawah projek bantuan sewa.
15 Okt   5.15pm
@50 juta bagi membantu golongan pekerja estet yang akan dikendalikan oleh bank Simpanan Nasional.
15 Okt   5.16pm
@Skim Rumah Pertamaku melalui Cagamas yang akan menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus bagi harga di bawah 220 ribu ringgit (khas untuk pendapatan 3 ribu ringgit sebulan dan terutama untuk golongan muda)
15 Okt   5.17pm
@Meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar – 6.9 biliion ringgit untuk perlaksanaan infrastuktur asas seperti bekalan air, elektrik & jalan luar bandar.
15 Okt   5.19pm
@Meringankan Beban Hidup Rakyat: 947 juta ringgit sebagai subsidi harga padi, baja, benih padi, serta 230 juta ringgit untuk insentif pengeluaran dan peningkatan hasil padi
15 Okt   5.20pm
@Kerajaan juga akan menyediakan sejumlah 170 juta ringgit bagi insentif hasil tangkapan ikan nelayan serta pemilik bot untuk meningkatkan hasil tangkapan
15 Okt   5.20pm
@200 juta untuk program pengedaran barang perlu seperti beras, minyak masak, gula, tepug terutama di Sabah & Sarawak
15 Okt   5.20pm
@500 juta ringgit unruk membantu kontraktor kelas F di seluruh negara
15 Okt   5.22pm
@Menaikkan elaun bulanan Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan Persekutuan, Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli dan Pengerusi Kampung Baru kepada 800 ringgit sebulan
15 Okt   5.23pm
@Elaun imam naik 450 ringgit kepada 750 ringgit sebulan.
15 Okt   5.24pm
@Guru KAFA dinaikkan ke 800 ringgit sebulan berbanding 500 ringgit
15 Okt   5.25pm
@Pembangunan orang asli & pribumi – peruntukkan 100 juta ringgit terutama untuk menyelesaikan isu pegangan hak milik tanah & pembangunan penempatan orang asli.
15 Okt   5.25pm
@Mengurangkan kos pengangkutan: harga tol PLUS Expressway Berhad tidak akan dinaikkan bagi tempoh 5 tahun akan datang bermula serta merta
15 Okt   5.26pm
@15.2 billion ringgit di peruntukkan untuk membina hospital baru, menambah bilangan doktor & jururawat serta mendapat bekalan ubat dan peralatan perubatan
15 Okt   5.27pm
@Membanteras jenayah & Menjamin Keselamatan: 350 juta ringgit untuk program membanteras jenayah & untuk skim rondaan sukarela terutama di kawasan berisiko tinggi.
15 Okt   5.28pm
@Memperkasa Peranan Badan Bukan Kerajaan: 70 juta ringgit bagi program yang melibatkan NGO terpilih yang turut membantu mengurangkan kes kes rempit, pembuangan bayi, mat rempit dan gangsterisme
15 Okt   5.29pm
@1.9 billion untuk pemuliharaan alam sekitar
15 Okt   5.30pm
@Memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam dengan mempermudah berurusan dengan agensi kerajaan
15 Okt   5.32pm
@Menghargai sumbangan penjawat awam: 500 ringgit untuk menampung perbelanjaan persiapan sekolah
15 Okt   5.33pm
@Menaikkan kadar bantuan mengurus jenazah kepada 3 ribu ringgit
15 Okt   5.35pm
@Penjawat awam – dibenarkan membeli hartanah daripada ibu, bapa, anak & adik beradik
15 Okt   5.36pm
@Cadangan 212 billion untuk RMK-10, NKRA dan NKEA
15 Okt   5.37pm
@Bajet kali ini merupakan bajet ke -53 pasca merdeka yang telah dibentangkan oleh kerajaan. Melalui 53 bajet, 10 RMK, 3 Rangka Rancangan Jangka Panjang & 1 Misi Nasional, Bajet 2011 menjadi binkisan penting serta langkah pertama dalam menempatkan Malaysia di ambang status negara maju berpendapatan tinggi.